Hari ini merupakan 17 ramadhan, dan hari ini juga merupakan hari nuzul al-qur'an yang membawa seribu erti kepada kita..
Mari kita sama-sama baca artikel yang ditulis oleh Dr. Samsu Adabi Mamat
Nuzul Al-Quran
Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga  seterusnya  berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang  ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam  Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW.  Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke  bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW  maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya  yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’  bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang  menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat,  muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering  dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau  ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan  al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di  dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam  al-Quran. Firman Allah: 
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam  sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan  Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail  ialah 
”Bacalah  (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian  makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan  Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan  tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”  (al-‘alaq:1-5)
Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul  Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa  sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya  berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik  dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT
 
Maksudnya:  Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam  Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia  kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik  daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan  izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan  berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat)  itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)
Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.
....................................................
sementara hayat masih ada, sementara tenaga masih kuat, sementara masih mampu bernafas, marilah kita sama-sama merebut segala ganjaran dan pahala yang Allah akan berikan di bulan ramadhan yang penuh keberkatan ini. Moga-moga kita masih diizinkanNya untuk bertemu lagi di ramadhan akan datang..


2 comments:
salam nuzul quran to u too!
;D
thank u kak verde! :D
Post a Comment