Saturday, April 7, 2012

cerita si wartawan

Assalamualaikum,






.....................


SUASANA biasa. Demikian tanggapan perasaan penulis terhadap penduduk bandar Hatyai, Songkhla, Thailand selepas kawasan berkenaan digemparkan dengan letupan bom di tempat letak kereta Hotel Lee Garden Plaza pada Sabtu lalu. Saat menjejakkan kaki di negara jiran itu kira-kira 9 malam waktu tempatan hari kejadian selepas bertolak dari Kangar, Perlis menerusi Bukit Kayu Hitam, penulis mendapati lokasi kejadian kosong dengan ditutup garisan polis berjarak 500 meter.


Tetapi peliknya apabila hotel yang terletak bersebelahan lokasi kejadian masih beroperasi seperti biasa, malah ia turut menjadi penginapan penulis sepanjang lima hari berada di zon berdarah yang mengorbankan dua rakyat kita.
Sejurus mendaftar masuk, penulis terus menjalankan tugasan dengan mendapatkan gambaran sebenar kejadian daripada seorang peniaga yang berasal dari wilayah Pattani yang petah berbahasa Melayu.


Dia yang lebih mesra dengan panggilan Salma mampu tersenyum apabila ramai pelanggan minum dan makan di warung yang dibuka sehingga awal pagi dan berada tidak kurang 50 meter daripada lokasi kejadian.
Walaupun laluan masuk serta keseluruhan kawasan tingkat bawah hotel berkenaan musnah dan tidak ubah seperti dilanda gempa bumi, penduduk di kawasan itu masih boleh tersenyum, mungkin pengalaman membiasakan mereka.

Penulis turut berdepan dengan pengalaman baru kerana bilik mayat di salah sebuah hospital di bandar itu tidak seperti di negara ini, kerana berbau hamis dan busuk yang menusuk hidung hingga terpaksa menahan nafas beberapa ketika.Malah, pakaian mangsa yang mengalami kecederaan dibuang dan dibiarkan di satu sudut di kawasan belakang bilik berkenaan. Sumpah seranah sudah letih diucap, namun tugas tetap tugas, bau busuk mayat dan najis dihela dengan rela demi sebaris berita.




Pulang sahaja ke lokasi kejadian menaiki angkutan kota 'tut-tut' mereka, penulis turut melihat sendiri bagaimana keadaan dinding laluan dan lantai konkrit tempat letak kereta berkenaan hancur akibat dibedil bom kereta, terima kasih kepada rombongan timbalan perdana menteri mereka, kerana disebabkan mereka penulis curi-curi menyertai mereka sebelum dihalang pihak berkuasa selepas beberapa ketika. Keesokannya, banyak lagi, berada di bangunan setinggi 33 tingkat yang turut menempatkan pusat beli belah di empat tingkat bawahnya menjadi kenangan paling menakutkan buat penulis apabila berjaya menyelinap masuk ke lokasi utama kejadian.



Walaupun dikawal ketat oleh pihak tentera, penulis berlahak selamba untuk masuk ke kawasan itu bersama penduduk tempatan seolah-olah mahu mengambil motosikal yang diletakkan di situ.
Penulis juga terpaksa bersembunyi di celah-celah kereta yang mengalami kerosakan bagi mengelak dicekup pihak berkuasa untuk mendapat sudut gambar terbaik termasuk rakaman video untuk pengetahuan pembaca mengenai apa sebenarnya berlaku. Biarpun bimbang dicekup pihak berkuasa, namun penulis turut meremang bulu roma ketika berada di lokasi kejadian kerana berdepan masalah sesak nafas dan bahang panas sekali gus terbayang nasib mangsa yang berdepan dengan keadaan sebenar.



Pengalaman berkenaan menyempurnakan tugasan penulis sepanjang berada di Hatyai selepas hanya boleh melaporkan keadaan di luar dan hospital yang sememangnya turut dilaporkan semua media di Thailand mahupun Malaysia. Apa yang dilaporkan hanyalah bagi tatapan pembaca yang mahu kelainan, biarpun turut terbit rasa bimbang jika keadaan letupan bom berulang kerana dimaklumkan masih terdapat dua kereta sarat dengan bahan letupan belum ditemui.



Tetapi, ia mungkin khabar angin semata-mata dan penulis gembira kerana memperoleh suatu pengalaman paling berharga dalam hidup.Memang nyata jurang bahasa, budaya dan makanan tidak mampu diceritakan kerana ia menjadi adat biasa apabila berada di negara orang, namun jauh di sudut hati penulis berasa bersyukur menjadi anak Malaysia. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.



Ditulis oleh: SMS
.........................................









LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
Daisypath Anniversary tickers